Privasi & Pengendalian Data e-Rekod
Kemas kini terakhir: 8 November 2026
e-Rekod ialah alat yang membantu guru menyimpan rekod PBD, peperiksaan dan sahsiah murid. Halaman ini menerangkan data apa yang disimpan, kenapa, dan apa pilihan anda.
Data yang disimpan
Tentang anda (guru): nama, e-mel, nama sekolah, jenis sekolah, kata laluan (disimpan sebagai cincangan sehala — kami tidak boleh membacanya), dan rekod pembayaran langganan.
Tentang murid anda: nama, kelas, jantina, tahun, dan rekod akademik yang anda masukkan sendiri (PBD, peperiksaan, semakan buku, sahsiah, bukti hasil kerja). Jika anda menggunakan Kuiz, jawapan murid, markah dan token kuiz juga disimpan.
No. Kad Pengenalan murid ialah PILIHAN. Anda boleh mendaftarkan murid tanpa IC langsung. Sistem akan memberi penanda dalaman sendiri.
Akaun demo
Butang Cuba Demo mencipta akaun sementara yang berisi kelas dan murid rekaan. Anda tidak perlu memberi nama, emel atau sebarang maklumat peribadi untuk mencubanya. Alamat IP direkod semasa demo dimulakan untuk mengehadkan penyalahgunaan, dan rekod itu kekal dalam log keselamatan sehingga 90 hari.
Akaun demo tamat selepas 3 jam dan tidak boleh dibuka lagi. Akaun itu dan semua yang anda masukkan ke dalamnya dipadam sepenuhnya dalam tempoh sehari. Jangan masukkan maklumat murid sebenar ke dalam akaun demo. Dalam demo, ciri AI dan muat naik gambar ditutup.
Kenapa IC diminta
Dua sebab sahaja: supaya ibu bapa boleh mencari anak mereka di Portal Ibu Bapa, dan supaya murid boleh mengesahkan diri semasa menjawab Kuiz dalam kelas (4 digit terakhir sahaja). Kalau anda tidak membuka Portal Ibu Bapa dan tidak menggunakan Kuiz, IC tidak diperlukan langsung.
Bagaimana IC dilindungi
- Sentiasa dipapar bertopeng —
••••••••1234. Hanya 4 digit terakhir kelihatan, di mana-mana sahaja dalam sistem. - Tidak pernah dicatat dalam log audit. Log kami menggantikannya dengan
****. - Untuk pembayaran, IC anda dihantar terus kepada gerbang pembayaran dan tidak disimpan dalam pangkalan data e-Rekod.
Portal Ibu Bapa
Portal ini ditutup secara lalai. Anda yang memilih sama ada mahu membukanya.
Bila dibuka, ibu bapa mengesahkan identiti menggunakan nama anak + 4 digit terakhir IC — bukan IC penuh. Anda boleh menutupnya semula bila-bila masa.
Kuiz
Kuiz hanya wujud jika anda menciptanya. Murid menjawab melalui tiga cara:
- Pautan atau QR kuiz: sesiapa yang memegang pautan itu boleh melihat tajuk kuiz dan senarai nama murid kelas tersebut (tanpa IC). Untuk menjawab, murid mesti memasukkan 4 digit terakhir IC mereka. Cubaan yang salah dihadkan. Kongsi pautan dengan kelas anda sahaja, dan tutup kuiz apabila selesai.
- Portal Ibu Bapa: kuiz yang diterbitkan muncul dalam halaman anak.
- Main di Kelas: anda memaparkan kuiz di projektor dan roda memilih nama murid kelas tersebut, jadi nama murid kelihatan kepada seluruh kelas. Murid tidak log masuk; anda menekan jawapan bagi pihak murid. Jawapan betul memberi token (bilangan yang anda tetapkan) ke Rekod Token murid itu. Jawapan dalam mod ini tidak disimpan sebagai cubaan.
Jawapan setiap cubaan, markah dan token disimpan. Markah dikira di pelayan e-Rekod. Token cubaan pertama masuk Rekod Token murid dan boleh dilihat oleh ibu bapa seperti token lain. Gambar soalan yang anda muat naik disimpan bersama gambar bukti hasil kerja, dan boleh dilihat oleh sesiapa yang memegang alamat gambar itu.
Soalan kuiz biasa dibuat oleh anda dengan alat AI pilihan anda sendiri, dan e-Rekod tidak menghantar data murid kepada AI tersebut.
Kertas penuh (kuiz yang ada Bahagian B dan seterusnya) berbeza: selepas murid menekan Hantar, jawapan bertulis murid dihantar ke Google Gemini untuk ditanda dan diberi komen. Yang dihantar hanya soalan, skema jawapan dan jawapan bertulis murid. Nama dan nombor kad pengenalan murid tidak dihantar. Markah daripada AI ialah cadangan, dan anda boleh mengubahnya.
Siapa boleh melihat data murid anda
- Anda sahaja. Setiap guru hanya nampak murid sendiri.
- Ibu bapa hanya nampak anak sendiri, dan hanya jika anda membuka Portal.
- Pentadbir sistem boleh melihat maklumat akaun (nama, e-mel, status langganan) untuk sokongan teknikal dan pengurusan langganan.
- Jika anda menjana API Key di Tetapan, extension Pantas PBD Helper di browser anda boleh membaca nama murid, TP, Usaha, Kemahiran, ulasan dan markah peperiksaan anda, untuk anda isi sendiri ke MOEIS. Ia berlaku hanya bila anda menekan import dalam Pantas, dan kunci itu boleh dibatalkan di Tetapan pada bila-bila masa.
Kami tidak menjual data. Kami tidak berkongsi data murid dengan pihak ketiga untuk pengiklanan.
Siapa lagi memproses data ini
Kami tidak menyimpan semua benda seorang diri. Enam syarikat membantu menjalankan e-Rekod, dan setiap satu hanya menerima bahagian yang ia perlukan:
- Google (Gemini) — dalam tiga keadaan. Pertama, apabila anda menekan butang AI: yang dihantar ialah nama murid, jantina, dan rekod berkaitan: PBD, markah, peperiksaan, semakan buku dan token. Kedua, apabila murid menghantar kertas penuh: hanya soalan, skema dan jawapan bertulis murid, tanpa nama. Ketiga, apabila anda mengimbas kertas peperiksaan dengan kamera di Headcount: gambar kertas itu dihantar supaya nama murid, kelas dan markah yang tertulis dapat dibaca. Gambar tidak disimpan oleh e-Rekod, dan senarai nama kelas anda tidak dihantar. Nama dipadankan dengan murid anda di browser anda sendiri, dan markah hanya disimpan selepas anda menyemak dan menekan Simpan. Gambar mengandungi apa sahaja yang tertulis pada muka depan kertas, jadi jangan imbas kertas yang ada nombor kad pengenalan atau maklumat lain murid. e-Rekod tidak pernah menghantar nombor kad pengenalan murid daripada rekodnya.
- DigitalOcean — pangkalan data, fail bukti hasil kerja dan gambar soalan kuiz.
- Vercel — tempat aplikasi ini berjalan.
- Bayarcash — pembayaran langganan. Menerima maklumat anda, bukan data murid.
- Resend — penghantaran e-mel sistem. Menerima alamat e-mel anda.
- Sentry — laporan ralat teknikal apabila sesuatu rosak. Kami tidak menghidupkan penghantaran maklumat pengenalan pengguna kepadanya.
Tiada satu pun daripada senarai ini ialah syarikat pengiklanan.
Suara di Main di Kelas (pilihan). Jika anda menghidupkan "Sebut nama (suara)", browser anda menghantar audio ke perkhidmatan suaranya sendiri (Google untuk Chrome, Microsoft untuk Edge) untuk ditukar kepada teks, hanya semasa kad atau roda sedang memilih nama, atau semasa anda menekan butang Uji. Audio itu mungkin mengandungi nama murid yang disebut. e-Rekod tidak merakam atau menyimpan audio, dan teks itu hanya dipadankan dengan senarai murid di dalam browser anda. Ciri ini mati secara lalai.
Di mana data disimpan
Pangkalan data, fail, dan aplikasi e-Rekod kesemuanya berada di Singapura. Sambungan antara aplikasi dan pangkalan data disulitkan, dan laman ini hanya boleh dicapai melalui HTTPS.
Dua pengecualian yang kami mahu anda tahu: apabila ciri AI digunakan (butang AI, atau semakan kertas penuh), data yang disebut di atas pergi ke pelayan Google. Google memproses di rantau mereka sendiri, dan itu bukan sesuatu yang kami boleh tetapkan. Kedua, jika anda menghidupkan suara di Main di Kelas, audio diproses oleh Google atau Microsoft melalui browser anda (lihat di atas).
Kalau anda tidak mahu data murid keluar ke Google langsung, jangan guna ciri AI, kertas penuh atau suara. Semua bahagian lain e-Rekod berfungsi tanpanya.
Berapa lama data disimpan
Selagi langganan anda aktif, rekod anda kekal.
Akaun yang langganannya tamat dan tidak diperbaharui dalam 30 hari akan dipadam. Kami menghantar e-mel amaran ke alamat berdaftar anda, dan akaun dipadam 3 hari selepas e-mel itu jika langganan masih belum diperbaharui. Jika e-mel amaran gagal dihantar, akaun tidak dipadam.
Pemadaman meliputi senarai murid, rekod PBD, markah, semakan buku, token sahsiah, gambar hasil kerja dan kuiz. Rekod bayaran (tarikh, jumlah, nombor transaksi, nama dan e-mel) disimpan berasingan untuk tujuan perakaunan dan cukai. Salinan dalam sandaran mingguan kami hilang apabila sandaran itu luput, iaitu selewat-lewatnya 90 hari kemudian.
Akaun yang didaftarkan tetapi tidak diaktifkan dengan bayaran dalam tempoh 72 jam akan dipadam secara automatik.
Sandaran
Pangkalan data disandarkan setiap hari secara automatik, dan boleh dipulihkan ke mana-mana titik dalam tempoh tujuh hari.
Selain itu kami menyimpan sandaran data akademik kami sendiri setiap minggu, disimpan 90 hari. Sebabnya: pernah berlaku kehilangan data yang tidak dapat dipulihkan kerana ia hanya disedari lebih seminggu kemudian, iaitu di luar tempoh tujuh hari itu. Sandaran mingguan ini menutup jurang tersebut.
Memadam data
Anda boleh memadam murid, kelas atau subjek pada bila-bila masa melalui Tetapan.
Untuk memadam keseluruhan akaun beserta semua rekod, hubungi kami di aimansic97@gmail.com. Pemadaman akaun membuang semua rekod murid berkaitan secara kekal.
Apa yang anda boleh buat dengan data ini
- Lihat — semua rekod murid anda boleh dilihat dalam sistem pada bila-bila masa.
- Betulkan — anda boleh menyunting mana-mana rekod sendiri, tanpa meminta kami.
- Muat turun — rekod PBD, markah, semakan buku dan ulasan boleh dieksport ke Excel.
- Padam — anda boleh memadam murid, kelas, atau keseluruhan akaun.
Kami tulis ini sebagai apa yang sistem benar-benar benarkan, bukan sebagai senarai hak undang-undang. Kalau ada yang anda tak jumpa butangnya, e-mel kami.
Kalau berlaku kebocoran data
Kalau kami mendapati data guru atau murid telah terdedah, kami akan memberitahu guru yang terjejas melalui e-mel, menerangkan apa yang berlaku dan data apa yang terlibat, secepat yang kami dapat sahkan faktanya.
Kami tidak akan berdiam diri dan berharap ia tidak disedari.
Perubahan kepada notis ini
Notis ini akan berubah apabila sistem berubah. Tarikh kemas kini sentiasa tertera di bahagian atas halaman.
Kalau perubahan itu besar — contohnya syarikat baharu mula memproses data murid — kami akan memberitahu melalui e-mel, bukan sekadar menukar halaman ini secara senyap.
Tanggungjawab anda sebagai guru
Data murid dalam e-Rekod ialah data sekolah anda. Anda bertanggungjawab memastikan penggunaan alat ini selaras dengan pekeliling sekolah, PPD dan JPN masing-masing, serta dengan mana-mana kebenaran yang diperlukan di pihak anda.
e-Rekod menyediakan alat; anda yang menentukan data apa dimasukkan dan siapa boleh melihatnya.
Siapa mengendalikan e-Rekod
e-Rekod dikendalikan oleh AIME EDUTECH (No. Pendaftaran Perniagaan JM1048802-W), sebuah perniagaan milikan tunggal berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Perniagaan ini dimiliki dan dijalankan oleh seorang guru sekolah rendah yang masih mengajar. Semua data yang diterangkan di halaman ini berada di bawah kendalian entiti tersebut.